Cinderella tinggal bersama-sama ibu tirinya yang jahat dan dua orang kakak tiri yang hodoh.
Mereka memperlakukan Cinderella seperti hamba. Akan tetapi, di sebalik kesusahannya, Cinderella tetap bergembira di samping teman-teman haiwan yang amat menyayanginya.
Tidak jauh dari situ, di dalam istana. Raja dan Duke Utama sedang berbincang tentang Putera Raja. "Kita mesti menarik minatnya untuk mencari isteri," kata Raja. "Mengapa kita tidak adakan pesta tari-menari dan jemput semua wanita muda di dalam negeri ini?" cadang penasihatnya. Utusan segera dihantar bersama-sama jemputan ke setiap rumah.
Kakak tiri Cinderella tersenyum girang mendengar ibu mereka membaca undangan itu dengan kuat. Apabila melihat Cinderella turut mendengar, ibu tirinya menengking, "Teruskan kerja kamu. Jangan membuang masa!"
Cinderella tidak berkecil hati sama sekali kerana dia juga sedang berangan-angan untuk pergi ke pesta diraja itu. Tetapi apakah yang akan dipakainya?
Sesungguhnya dia tidak perlu bimbang kerana teman haiwannya yang setia telah pun membuatkan sepasang gaun untuknya secara senyap-senyap.
Tikus-tikus sahabatnya memang pekerja kecil yang bijak kerana mereka dapat mengumpulkan bahan serta segala perhiasan dari setiap ruang rumah itu. Mereka menyemat dan menjahit keseluruhan gaun, sementara burung-burung mengukur dan mengikat reben. Dalam sekelip mata, mereka telah menyiapkan sepasang gaun yang indah untuk Cinderella ke pesta tari-menari.
Sementara itu, malam menjelang. Cinderella memandang sayu ke luar tingkap ke arah istana yang telah dihias dengan terang-benderang untuk majlis besar-besaran itu. Dia berasa amat kecewa kerana tidak mempunyai pakaian cantik untuk ke pesta.
Cinderella sangat gembira apabila mendapati ada sehelai pakaian cantik tersedia di bilik lotengnya. "Terima kasih banyak-banyak semua!" teriaknya dengan riang.
Tanpa berlengah lagi, Cinderella pun memakai gaun itu dan segera berlari ke bawah untuk pergi ke pesta itu bersama-sam ibu dan kakak-kakaknya.
Apabila Cinderella tiba di tingkat bawah, kakak-kakak tirinya yang cemburu terus menarik dan mencarik-carikkan bajunya sehingga koyak-rabak. Kemudian, mereka bergegas pergi ke pesta itu tanpa mengucapkan selamat tinggal.
Cinderella mula menangis kerana dia sangat ingin pergi ke pesta itu. Tiba-tiba, Bidadari Ibu Angkatnya muncul. Bidadari yang baik hati itu menukarkan sebiji labu menjadi kereta kuda dan empat ekor tikus menjadi empat ekor kuda yang gagah. Kemudian, dia menukarkan kuda Cinderella menjadi pemandu kereta kuda, dan anjingnya, Bruno, menjadi pengawal.
Apabila Bidadari Ibu Angkatnya menghayunkan tongkat saktinya sekali lagi, pakaian Cinderella bertukar menjadi gaun sutera yang indah, lengkap dengan sepasang sepatu kaca. Tetapi sebelum Cinderella berangkat ke pesta itu, Bidadari Ibu Angkatnya berpesan, "Kamu mesti balik sebelum tengah malam. Kuasa sakti ini akan berakhir selepas itu."
Putera Raja meyambut semua tetamunya, termasuk kakak-kakak tiri Cinderella. Namun tidak seorang pon yang menarik perhatiannya sehinggalah Cinderella tiba. Putera Raja sangat terpesona dengan kejelitaan Cinderella. Mereka berdua menari sepanjang malam. Semua hadirin tertanya-tanya siapa sebenarnya gadis jelita itu.
Cinderella berasa sungguh bahagia. Namun dia bersedih kerana malam itu tidak akan terus berpanjangan. Dia harus meninggalkan meninggalkan Putera Raja dan istananya sebelum waktu tengah malam untuk meneruskan kehidupannya yang sengsara bersama-sama ibu tirinya.
Seketika sebelum tengah malam, Cinderella memberitahu Putera Raja bahawa dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal. Putera Raja merayu, "Tolonglah beritahu saya di mana tempat tinggal awak."
Cinderella berlari meninggalkan Putera Raja itu. Dalam keadaan tergopoh-gapah itu, sebelah sepatu kacanya tercicir di tangga. Masa tidak mengizinkan Cinderella berhenti untuk mengambil sepatunya, apabila dia terdengar suara Duke Utama berteriak tidak jauh di belakangnya, "Cik puan, tunggu sebentar! Tuanku berhajat untuk bercakap dengan cik puan!"
Tetapi Cinderella tidak dapat menunggunya. Masa berlalu begitu cepat dan pada bila-bila masa sahaja, kuasa sakti itu akan berakhir.
Dalam masa yang singkat, Cinderella telah berada di dalam kereta kudanya yang cantik dan melarikan diri dari istana. Dari jauh, kedengaran bunyi tapak kuda pengawal istana mengejarnya. Pada detik terakhir menjelang tengah malam, Cinderella mendapati dirinya terduduk di atas tanah dengan pakaiannya yang compang-camping. Namun dia, masih memakai sepatu kacanya yang sebelah lagi. Cinderella dikelilingi oleh Bruno, tikus, dan kudanya. Kesaktian Bidadari Ibu Angkat telah berakhir. Pada keesokan harinya, Duke Utama membawa sepatu kaca Cinderella ke setiap rumah dalam negeri itu dengan pesanan. "Sesiapa yang dapat memakai sepatu ini akan dikahwinkan dengan Putera Raja."
Ketika Duke sampai ke rumah Cinderella, ibu tirinya yang jahat itu mengunci Cinderella di bilik loteng sambil berkata, "Kamu tidak ada urusan untuk turun ke bawah, Cinderella. Kamu mesti duduk di dalam bilik sehingga aku bukakan pintu."
Kakak-kakak tirinya yang hodoh yakin bahawa itulah peluang keemasan mereka. "Masukkan ke dalam lagi, bodoh!" jerit salah seorang daripadanya sewaktu utusan raja cuba memasukan sepatu yang kecil itu ke dalam kaki kakak-kakak tirinya yang besar.
Di tingkat atas, tikus-tikus teman Cinderella sedang bertungkus-lumus berusaha memasukkan kunci ke dalam bilik Cinderella. Kunci itu lebih besar daripada mereka dan Gus terpaksa bergilir-gilir dengan Jag untuk membawanya setapak demi setapak.
Tiba-tiba, Kucing Lucifer muncul dan memeranjatkan kedua-dua ekor tikus itu. Mujurlah pada ketika itu juga, Bruno sampai dan Lucifer lari lintang-pukang.
Sebaik sahaja Duke Utama dan utusan raja hendak meninggalkan rumah itu, Cinderella berlari menuruni tangga sambil berteriak, "Tunggu, jangan pergi! Biar saya cuba!" Utusan raja itu melompat kerana terperanjat dengan kemunculan Cinderella yang secara tiba-tiba. Sepatu kaca yang dibawanya terjatuh dari bantal yang menjadi alas sepatu itu, lalu pecah berderai.
"Alamak! Apa yang harus kita katakan kepada Putera Raja!" teriak Duke Utama. Kemudian, Cinderella pun mengeluarkan sebelah lagi sepatu kaca yang disembunyikannya. Duke Utama gembira tetapi ibu dan kakak-kakak tirinya terperanjat apabila melihatnya kaki Cinderella yang kecil molek itu betul-betul muat ke dalam sepatu itu.
"Nyatalah, gadis ini yang bakal menjadi isteri Putera Raja!" umum Duke Utama.
Tidak lama kemudian, Cinderella pun dikahwinkan dengan Putera Raja. Majlis keramaian secara besar-besaran diadakan di istana untuk meraiakan perkahwinan pasangan diraja. Semua rakyat jelata dijemput ke majlis itu.
Cinderella kelihatan berseri-seri di samping Putera Raja. Mereka hidup aman damai buat selama-lamanya.
"HAPPILY EVER AFTER!!"





